Zahid: Kalau Majikan Tak Bagi Cuti Lebih Baik Jangan Balik Undi


Timbalan perdana menteri sementara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat Malaysia yang berada di Singapura lebih baik tidak pulang mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 sekiranya tidak mendapat kebenaran majikan.

Beliau berkata demikian ketika diminta pendapat berhubung kemungkinan rakyat Malaysia yang bekerja di Malaysia tidak mendapat cuti pada 9 Mei nanti.

"Pada hemat saya, kerajaan tak ada galak atau tolak kerana itu hak peribadi untuk mengundi.

"Tetapi jika majikan negara berkenaan tidak izinkan, maka saya fikir perkara yang baik adalah jangan balik mengundi," katanya dalam sidang media selepas program di Kluang, Johor hari ini.

PRU ke-14 yang diumumkan SPR akan diadakan pada hari Rabu menyebabkan ketidakpuasan hati ramai pengundi.


Susulan pengumuman itu, kempen menggalakkan rakyat Malaysia pulang mengundi dibuat di media sosial.

Beberapa syarikat Singapura mengumumkan bahawa pihak mereka tidak akan memberikan cuti kepada pekerja Malaysia pada hari mengundi berkenaan.

Kerajaan bagaimanapun mengumumkan 9 Mei sebagai cuti umum di Malaysia.

Sementara itu, timbalan menteri dalam negeri sementara Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pembangkang tidak seharusnya berkempen menggalakkan pengundi yang berada di luar kawasan pulang mengundi.

"Menggunakan pengundi luar kawasan bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya dalam satu-satu kawasan tidak sepatutnya dilakukan kerana calon pembangkang tidak akan mempertahankan kerusi itu bagi setiap pilihan raya.

"Calon sentiasa berpindah-pindah. Kalau menang pun, mereka tidak berkhidmat di kawasan mereka dan pilihan raya seterusnya mereka akan cari tempat lain untuk bertanding bagi mengelakkan isu yang dihadapi di kawasan mereka," katanya seperti dipetik The Star.

Sumber: malaysiakini.com
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment