Seorang Maut, 10 Cedera Gempa Bumi Gegar Sulawesi


Sekurang-kurangnya seorang meninggal dunia dan 10 lagi cedera dalam gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 skala Richter yang melanda Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia pada pukul 5.02 petang waktu tempatan (6.02 waktu Malaysia).

Wisma Putra dalam satu kenyataan malam Jumaat menyatakan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau terkesan secara langsung akibat kejadian gempa ini.

“Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besarnya di Jakarta dan Konsul Kehormat di Makassar telah berhubung dengan para pelajar Malaysia yang berada di sekitar Makassar bagi memastikan keselamatan mereka,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia diminta supaya sentiasa tenang dan terus mengikuti berita tempatan untuk mengetahui perkembangan terkini berikutan masih terdapat beberapa gempa susulan.


Rakyat Malaysia yang berada di sekitar Sulawesi Tengah yang memerlukan bantuan konsular hendaklah menghubungi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi emel mwjakarta@kln.gov.my atau talian +62 813 8081 3036.


Sementara itu, gempa bumi kuat itu turut mengakibatkan tsunami di kawasan pantai Palu petang Jumaat.

Berdasarkan video daripada Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, tsunami setinggi tiga meter itu berlaku 5.27 petang waktu Indonesia Timur, kira-kira 22 minit selepas gempa kuat itu menggoncang wilayah Kota Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah.

Ketua Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Dwikorita Karnawati berkata gempa bumi itu menyebabkan berlaku tsunami pada ketinggian lebih dari 50 centimeter hingga maksimum tiga meter.

"Setakat 8 malam ini (Jumaat), BMKG mencatatkan sebanyak 22 kali gempa susulan dengan kekuatan antara 2.9 hingga 6.3 Skala Richter selepas gempa kuat 7.7 Skala Richter yang berpusat di timur laut Donggala pukul 5.02 petang tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan malam Jumaat berkata setakat ini enam dikhuatiri terkorban akibat gempa dan kejadian tsunami itu.


"Pasukan penyelamat sedang memindahkan penduduk terbabit ke kawasan selamat.

"Berlaku banyak kemusnahan bangunan dan kediaman yang jumlahnya belum dapat dipastikan," katanya.

Jaringan telekomunikasi di Kota Palu juga kini dilaporkan terputus berikutan banyak menara telekomunikasi terjejas teruk akibat gempa kuat itu, katanya.

Sementara itu jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa dalam gempa itu.

"Pihak kedutaan memantau perkembangan terkini, dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat terkini," kata jurucakap itu.- BERNAMA
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment