Ronaldo Hulur Derma Dan Muat Naik Video Tanda Sokongan Kepada Kanak-kanak Di Aleppo


Pemain tengah Real Madrid merangkap kapten antarabangsa Portugal, Cristiano Ronaldo memberikan sokongan moral kepada semua mangsa perang saudara di Syria terutama sekali kepada kanak-kanak di Aleppo.

Perang saudara itu kini berlarutan untuk tahun ke-4. Namun krisis pada kali ini semakin meruncing dan menjadi lebih ganas. Lebih banyak korban dan kerosakan melibatkan orang awam.

Ikon bola sepak dunia dan pemenang Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo tampil dengan mesej yang menyentuh hati menerusi twitter dan juga turut dimuat naik di facebook beliau.

Dalam satu video yang berdurasi 20 saat itu, beliau berkata:

“Ini untuk kanak-kanak di Syria. Kami tahu anda semua sangat menderita. Saya pemain bola sepak yang sangat terkenal, namun anda semua adalah pahlawan sebenar.”

“Jangan pernah putus harapan. Dunia bersama anda semua. Kami peduli tentang anda. Saya bersama anda.”


Organisasi kemanusiaan Save the Children menyatakan Ronaldo akan menyalurkan bantuan kepada persatuan mereka.

Ia akan digunakan untuk makanan, pakaian, tempat berteduh, dan ubat-ubatan untuk keluarga yang tinggal di Aleppo dan beberapa lagi wilayah lain.

Pengarah Save the Children Nick Finney berkata satu kenyataan rasmi:

“Sumbangan ikhlas dari Cristiano Ronaldo akan membantu kita untuk membantu kanak-kanak dari Aleppo dan seluruh Syria, yang telah mengalami perkara yang tidak sepatutnya dialami oleh seorang kanak-kanak biasa.”

“Kami sangat berterima kasih atas sokongan yang bertujuan untuk menyokong kehidupan kanak-kanak di sana.”

“Ronaldo bukan sahaja seorang tokoh sukan yang paling ikonik di dunia, tetapi dia juga telah menjadi satu sinar harapan untuk berjuta-juta kanak-kanak lelaki dan perempuan di seluruh dunia.

“Ia adalah perkara yang kanak-kanak di Syria sangat perlukan sekarang lebih daripada biasa.”

Sebagai tambahan, Cristiano Ronaldo memang aktif dalam isu kemanusiaan terutama sekali menerusi organisasi Save The Children.

Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment