Kerajaan Bakal Lantik Syarikat Pengurusan Perkapalan Bagi Equanimity


KLANG - Kerajaan akan melantik sebuah syarikat pengurusan perkapalan dalam masa terdekat bagi memastikan tahap kualiti dan kekemasan kapal mewah Equanimity berada dalam keadaan terbaik sepanjang disita di Terminal Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang di sini.

Peguam Jeremy M. Joseph yang mewakili 1MDB dan kerajaan Malaysia berkata, langkah tersebut adalah bersesuaian supaya kapal itu dapat dijual dengan harga yang berpatutan mengikut pasaran terkini.

"Kita tahu kapal ini merupakan aset bernilai tinggi dan penjagaan khas perlu dilakukan dalam memastikan nilai sentiasa berada di tahap tinggi.

"Apa yang penting sekarang adalah melantik syarikat pengurusan perkapalan. Justeru, kita akan membuka sebut harga kepada mana-mana syarikat yang berminat mengenainya," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan lobi Terminal Boustead Cruise Centre di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun, tidak dapat menyatakan anggaran nilai jualan semula kapal tersebut.


Jeremy memberitahu, usul mengenai pelantikan syarikat pengurusan perkapalan itu termasuk sebut harga akan dibawa kepada pihak mahkamah untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, penjualan kapal itu akan dilakukan melalui proses mahkamah dalam mencari pembida yang tinggi.

"Kita mahu menjual kapal itu dalam kadar segera bagi mengelakkan harganya semakin menurun sekiranya diletakkan lama di sini (Terminal Boustead Cruise Centre).

"Selain itu, ia turut dipengaruhi oleh kos penyelenggaran yang tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, Jeremy menegaskan ketika ini kesemua barangan berharga di dalam kapal tersebut telah ditutup dengan peralatan khas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Berdasarkan pemerhatian saya, pembersihan terutama di bahagian dalamannya memerlukan penggunaan bahan kimia yang khas," jelasnya.

Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat selama dua jam bersama agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pihak Terminal Boustead Cruise Centre melibatkan aspek penjagaan, keselamatan kapal dan krunya. - Kosmo
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment