Kajian: Hanya Kanak-kanak Divaksin Sahaja Dibenarkan Daftar Belajar Ke Tadika


KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, Kerajaan kini sedang mengkaji untuk membenarkan hanya kanak-kanak yang divaksin penuh sahaja mendaftar untuk belajar di tadika, lapor Berita Harian. 

Menurut Subramaniam, keputusan sama ada mahu melaksanakan peraturan itu atau sebaliknya hanya akan diputuskan selepas menerima maklum balas dari segi penerimaan rakyat. 

"Kaedah yang kita sedang kaji ini diamalkan di Australia di mana apabila seseorang murid mahu didaftarkan di tadika, ia mewajibkan kanak-kanak divaksin sepenuhnya terlebih dahulu. 

"Ia bukan mahu mendiskriminasikan kanak-kanak yang tidak divaksin tetapi sebagai langkah perlindungan kepada kanak-kanak yang lain. Ini adalah antara kaedah yang kita sedang kaji, yang sudah dilaksanakan di satu, dua negara," katanya. 

Subramaniam berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Izani Husin (PAS - Pengkalan Chepa) yang ingin mengetahui apakah kerajaan mahu mengenakan tindakan yang lebih tegas terhadap pihak yang enggan memberi imunisasi kepada anak-anak mereka, di Dewan Rakyat, hari ini. 

Bagaimanapun katanya, pendirian Kementerian Kesihatan pada ketika ini adalah lebih wajar perkara itu dilakukan menerusi pendekatan pendidikan, bimbingan dan kaunseling. 

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, bilangan pihak yang menolak imunisasi kepada anak mereka pada tahun 2016 ialah seramai 1,603 kes, meningkat berbanding 1,541 kes pada tahun 2015.

#LengkapkanImunisasi
#Janganlupacucuk

Sumber: The Reporter
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment