Ibu Ayah Ambil Perhatian! Kenali 7 Tanda Jangkitan Cacing Pada Anak Kecil Yang Disangka Sakit Biasa..


Kecacingan sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa saja termasuklah anak kecil dan bayi. Terdapat pelbagai jenis cacing lain yang boleh hidup dalam badan manusia seperti cacing gelang, cacing jarum, dan cacing kerawit.

Tidak kiralah apa jenis cacing pun, ia perlu dikesan dan dirawat segera kerana dikhuatiri boleh membawa kepada masalah lain yang lebih serius seperti seperti kekurangan mineral, vitamin, kelewatan tumbesaran, anemia dan kerosakan usus.

Berikut adalah tanda jangkitan cacing yang perlu anda tahu. Walaupun ia kelihatan seperti sakit yang remeh, periksalah dengan teliti supaya ia dapat dikesan awal.

1. KEGATALAN PADA DUBUR

Anak yang terkena cacing pada awalnya akan berasa gatal dan tidak selesa pada bahagian dubur. Pada waktu malam terutamanya, kegatalan ini akan lebih menjadi-jadi. Jika terdapat perubahan pada pola tidur atau anak yang kelihatan tergaru-garu, cuba periksa bahagian tersebut dengan teliti.

Mungkin juga timbul ruam atau kemerahan akibat telur cacing atau kerana terlalu kerap digaru.

2. CIRIT BIRIT / NAJIS YANG TIDAK NORMAL

Cacing juga boleh dilihat melalui najis anak. Jika anda mengesyaki apa-apa, teruslah membawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Kehadiran sesetengah telur cacing seperti cacing jarum hanya dapat dilihat di bawah mikroskop.

Sekiranya anak mengeluarkan bau busuk yang sangat menusuk, ia boleh menjadi petanda jangkitan di dalam perutnya.Najis yang dijangkiti cacing.

3. KELETIHAN YANG LUAR BIASA

Sesetengah bayi dan anak kecil akan menunjukkan simptom keletihan yang luar biasa.

Mereka mungkin menjadi kurang aktif untuk bermain, tidak bersemangat, atau ada juga yang menampakkan kedutan dan lingkaran pada kelopak mata.

4. MUDAH JATUH SAKIT

Apabila dijangkiti cacing, anak lebih mudah sakit. Ini kerana, cacing yang berada di dalam tubuh telah menjejaskan sistem kekebalan tubuh.

Anak juga cenderung mengalami masalah kekurangan darah atau anemia, demam, alahan, kaki gatal dan bengkak, serta batuk berpanjangan. Larva cacing kadangkala berhijrah ke paru-paru sehingga menyebabkan batuk atau lelah. Ia juga boleh bergerak ke bahagian badan yang lain seperti kulit, hempedu dan pankreas lalu menyebabkan komplikasi.

5. KURANG BERAT BADAN WALAUPUN SELERA TIDAK TERJEJAS

Tahukah anda, sesetengah anak kecil tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan cacing. Mereka masih berselera, malah mungkin akan makan dalam jumlah yang lebih banyak.

Hal ini perlu diperhatikan sekiranya anak anda tidak mengalami pertambahan berat badan walaupun telah makan dalam kuantiti yang banyak.

6. ANAK SAKIT PERUT

Sungguhpun pada awalnya cacing ini menjangkiti usus, ia boleh menular hingga mengganggu organ lain sehingga menyebabkan anak sakit perut dan mengalami muntah-muntah. Komplikasi seperti usus tersumbat boleh berlaku pada jangkitan yang teruk.

Selain itu, ia juga boleh diiringi dengan petanda seperti cirit-birit dan kembung.

7. MENGETAP GIGI KETIKA TIDUR MALAM

Akibat dijangkiti cacing, ketidakselesaan yang dialami seperti gatal, ruam, demam, atau anak sakit perut sedikit sebanyak akan mengganggu pola tidur si kecil. Sebilangan kecil akan mengetap gigi ketika tidur malam.

Di samping itu, doktor menerangkan bahawa terdapat juga tanda lain seperti:

  • Hiperaktif
  • Sakit kepala
  • Sensitif terhadap cahaya
  • Gusi dan hidung berdarah
  • Wajah pucat
  • Sembelit
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment