Kupas 60KG Bawang Sehari Dan Dibayar Cuma RM6 Di Tiram, Jb


Mas Imran (kiri) berbual dengan Rogayah ketika melawatnya di rumah diduduki di Kampung Sungai Tiram, kelmarin.

JOHOR BAHRU 23 Jun Tatkala semua orang bersedia menyambut kehadiran Syawal tahun ini, sebuah keluarga di Kampung Sungai Tiram, di sini, masih bermenung memikirkan apa yang hendak dimakan esok hari.

Keluarga enam beranak yang tidak mempunyai tempat tinggal lain, kini hanya menginap di sebuah rumah tinggal buruk dengan dinding dan bumbung yang reput.

Lebih menyayat hati, ibu tunggal, Rogayah Unos, 54, bersama dua anak perempuannya, menantu dan dua cucu tinggal dalam timbunan sisa bawang putih dan sampah sarap kerana terpaksa menjalani kehidupan seharian di bahagian beranda rumah tinggal tersebut.

Menurutnya, sejak empat tahun lalu kehidupan mereka disara dengan hasil mengutip barangan lusuh dan mengupas bawang putih kerana tidak mampu melakukan kerja lain akibat dibelenggu masalah kesihatan.

Kami sekeluarga memang tidur dan berkumpul di sini sajalah. Ini satunya bahagian yang bumbungnya masih tegap. Cuma anak dan suaminya sahaja yang duduk di bahagian kosong dalam rumah.

Rumah ni tak ada api, jadi kami guna lilin. Mujur ada air, boleh kami nak mandi dan basuh kain, katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan dari Pasaraya Econsave oleh Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam.

Menceritakan mengenai rutin hariannya, Rogayah memberitahu dia kini mengambil upah mengupas 60 kilogram bawang putih daripada seorang peniaga dan dibayar sebanyak RM6 sehari.

Katanya, nasib mereka sekeluarga ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila dia turut menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis beberapa tahun lalu, selain perlu menjaga cucu berusia 5 dan 7 tahun.

Saya kerja inilah, sekilo kupas tauke tu bagi 10 sen jadi kami anak beranak buatlah dalam 60 kilo sehari. Anak-anak saya nak kerja lain pun mereka tak reti sebab baca semua tidak reti. Cuma menantu saja kerja dekat kedai cuci kereta di depan.

Kita buat macam biasa. Kalau ada makanan kita makan sama-sama dan kalau tiada kita tunggu dulu tetapi nasib ada juga bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jadi kami masih ada simpanan, katanya.

Pada lawatan tersebut, Mas Imran menyerahkan sejumlah RM500 barangan keperluan rumah dan tilam untuk memastikan keluarga ini dapat menjalani rutin yang lebih selesa.

Hari ini kita beri keluarga ini barangan keperluan, dan tilam untuk bagi keselesaan sedikit kepada mereka. Mereka juga diberikan baucar RM500 untuk mendapatkan barangan di Econsave.

Pihak Econsave juga sedia memberikan pekerjaan kepada setiap ahli keluarga ini tanpa syarat atau kelayakan, katanya. 

Sumber: Sinar Harian
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment