Saya Mahu Tatap Wajah Mereka, Biar Mereka Lihat Kemarahan Saya - Ibu Zulfarhan


“Saya harap saya berada di dalam mahkamah untuk menatap wajah mereka. Saya mahu mereka melihat kemarahan dan kegeraman yang saya rasa terhadap mereka."

Itulah luahan perasaan yang terpendam ibu Arwah Zulfarhan Osman Zukarnain, 21, Hawa Osman semasa ditemui media ketika pendengaran kes pembunuhan anaknya.

“Sampai hati mereka mendera anak saya hingga sedemikian rupa. Apakah mereka ini bukan manusia dan tiada perasaan simpati? katanya lagi.

Walaupun redha dengan pemergian anak sulungnya itu, namun dia seakan tidak dapat menerima bagaimana anaknya diperlakukan dengan kejam oleh tertuduh.

“Apakah punca kejadian ini hingga arwah diperlakukan sedemikian rupa, didera dengan penuh kejam?” soalnya.

“Mereka tidak rasa apa-apakah ketika menyeksa anak saya sedemikian rupa?

Hawa yang merupakan Pegawai Pentadbiran SMK Aminuddin Baki itu juga berharap agar pendakwaan dikekalkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Mereka kejam, saya harap pihak berkuasa kekal mendakwa mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mereka tidak berhati perut dan membiarkan arwah kesakitan akibat perbuatan mereka,” ujarnya yang kelihatan sebak.

Semalam lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa membunuh Zulfarhan pada bulan mei lalu manakala seorang lagi penuntut UPNM didakwa bersubahat menyebabkan kematian mangsa.

Zulfarhan dalam kejadian tersebut cedera parah dengan 80 peratus kesan melecur tahap dua dan tiga di hampir keseluruhan depan dan belakang badannya.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lalu dengan kesan melecur di dada, tangan dan kaki, dipercayai akibat ditekap seterika wap.

Sumber: The Alternatif
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment