Raja Salman Benarkan Wanita Arab Saudi Memandu


RIYADH/WASHINGTON: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz semalam mengarahkan supaya wanita dibenarkan untuk memandu, menamatkan tradisi konservatif yang dilihat aktivis hak asasi sebagai lambang penindasan pentadbiran diraja ke atas wanita.

Arab Saudi dikritik secara meluas kerana menjadi satu-satunya negara di dunia yang melarang wanita daripada memandu, walaupun pembaikan berperingkat ke atas sesetengah isu wanita sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kerajaan bercita-cita tinggi menyasar menaikkan peranan awam mereka terutama dalam tenaga kerja.

Walaupun cuba memupuk imej lebih moden sejak beberapa tahun lalu, larangan memandu menjadi noda sekian lama terhadap imej antarabangsa Arab Saudi.

Menurut agensi berita SPA, perintah diraja itu mengarahkan pembentukan sebuah kementerian untuk memberi nasihat dalam tempoh 30 hari dan kemudian melaksanakan arahan itu menjelang 30 Jun 2018.

Ia menyatakan, tindakan itu perlu 'terpakai dan mematuhi standard Syariah', merujuk kepada undang-undang Islam. Ia bagaimanapun tidak memberi butiran namun berkata, majoriti anggota Majlis Alim Ulama Kanan, badan agama tertinggi Arab Saudi, memberi kelulusan.

Sejam selepas pengumuman rasmi Arab Saudi itu, Dutanya ke Washington, Putera Khaled Salman berkata, ia adalah satu hari bersejarah dan besar di pentadbiran diraja itu.

"Saya fikir kepimpinan kami memahami bahawa masyarakat sudah bersedia. Saya fikir ia adalah keputusan yang betul pada masa tepat," katanya.

Reaksi positif segera diterima dari dalam negara dan seluruh dunia dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengalu-alukan tindakan itu sebagai 'langkah besar ke arah yang betul.'

Selama lebih 25 tahun, aktivis wanita berkempen supaya dibenarkan memandu, membuat bantahan jalanan, mengadakan petisyen dan menghantar video diri mereka memandu di media sosial. Bantahan itu menjurus tangkapan dan gangguan. - Reuters
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment