Istana Selangor Dalam Proses Batalkan Pingat Dr M Dan Isteri


PETALING JAYA: Istana Selangor hari ini mengesahkan pemulangan balik pingat yang pernah dianugerahkan Sultan Selangor kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Ali, dan berkata ia kini dalam proses membatalkan darjah dan bintang kebesaran kepada pasangan itu.

“Dengan itu adalah dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan menerima pemulangan kembali Darjah-darjah dan Bintang-bintang Kebesaran Selangor tersebut oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir bin Mohamad dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali tanpa halangan,” kata kenyataan singkat oleh Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais.

Beliau menambah tindakan mewartakan pembatalan pingat akan dilakukan “mengikut prosedur dan proses yang telah ditetapkan”.

Pemulangan kembali darjah kebesaran itu dipercayai berpunca daripada kenyataan Dr Mahathir yang menyentuh etnik Bugis dalam kritikannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


Ia disusuli siri kritikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membidas Dr Mahathir dalam beberapa wawancara dengan akhbar tempatan.

Dr Mahathir yang kini mempengerusikan Pakatan Harapan dan isterinya memulangkan darjah kebesaran tersebut pada 7 Disember lalu.

Dr Mahathir menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama pada 1978, iaitu pingat yang hanya dianugerahkan kepada 2 individu pada satu-satu masa.

Beliau juga menerima Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) sebulan sebelum bersara sebagai perdana menteri pada Oktober 2003.

Pingat yang dikembalikan Dr Siti Hasmah pula adalah anugerah yang diterimanya daripada Sultan Selangor pada 1983 dan 1994, iaitu Darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor.

Sumber: http://ift.tt/IrnvO1
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment