Neelofa Dilantik Sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Berhad. "Ini Bukan Pencapaian Saya Sahaja, Malah Semua Wanita di Luar Sana"


SEPANG: AirAsia Bhd (AirAsia) melantik selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa sebagai Pengarah Bebas bukan Eksekutif. Pelantikan itu diluluskan sebulat suara oleh Ahli Lembaga Pengarah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata pihaknya gembira dan mengalu-alukan pelantikan berkenaan.

"Pengalaman beliau sebagai usahawan, pencipta jenama akan menjadi tidak ternilai kepada AirAsia. Beliau juga boleh memberikan pandangan baharu dalam perniagaan kami semasa kami sedang menuju ke arah menjadi syarikat penerbangan digital.

"Neelofa juga adalah seorang yang sangat pintar, muda dan bebas - menepati apa yang kami perlukan untuk membantu syarikat terus maju menjadi satu daripada syarikat yang menunjukkan prestasi terbaik, dipercayai dan dihormati di dunia.


"Reputasinya sebagai antara usahawanita terkemuka di negara ini, selain tersenarai antara beberapa rakyat Malaysia dalam Forbes Asia menerusi segmen 30 Under 30, serta rekodnya dalam memperjuangkan wanita dalam perniagaan menjadi inspirasi kepada kami.

"Saya tidak sabar untuk bekerja bersama Neelofa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Neelofa adalah seorang selebriti berjaya yang menceburi bidang keusahawan dan telah membina empayar perniagaannya menerusi jenama Naelofar Hijab.

Jenama tudung itu dilaporkan berada dalam landasan untuk mencapai sasaran jualan RM200 juta tahun ini dan boleh didapati di 37 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia, Arab Saudi dan Singapura.

Sementara itu, Neelofa, berkata beliau teruja untuk menyertai keluarga AirAsia.

"Ini bukan hanya kejayaan saya tetapi juga buat semua wanita di luar sana. Selama tujuh tahun, saya meneroka kedua-dua industri hiburan dan perniagaan yang telah memberikan saya begitu banyak peluang untuk berkembang dan berubah.

"Saya gembira untuk menggalas peranan baru ini seterusnya mencabar diri saya untuk pergi lebih jauh," katanya. - Sinar Harian
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment