Buruh Haram:Rakyat Malaysia Tagih Bantuan Di Korea Selatan..


PETALING JAYA: Bekerja tanpa permit yang sah dan hanya menggunakan visa pelancong adalah antara dilema yang menghantui rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan pembelaan selepas ditindas majikan di Korea Selatan.

Ada antara mereka yang pulang semula ke Malaysia dengan tangan kosong, malahan mengalami kecacatan kekal tanpa mengetahui mereka berhak mendapatkan bantuan dan pampasan daripada pihak majikan.

Seorang sukarelawan Malaysia yang dikenali sebagai Z Hilmi, 29, kecewa apabila ada pihak yang mendakwa mangsa-mangsa penindasan majikan itu tidak dilindungi undang-undang buruh di negara tersebut kerana datang bekerja sebagai 'buruh haram'.

"Ada visa (bekerja) atau tidak, itu saya akan tolak ke tepi. Saya akan bantu semua mangsa secara habis-habisan sehingga mereka dapat hak sebagai seorang pekerja.


"Sebenarnya, kes-kes penindasan melibatkan rakyat asing boleh dilaporkan ke Kementerian Pekerjaan dan Buruh di Korea Selatan dan mereka akan bantu tanpa mengira status kewarganegaraan mangsa tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.


Pandangan dari arah luar ke salah satu kilang yang menjadi tempat rakyat Malaysia bekerja di Korea Selatan.

Untuk rekod, Malaysia tidak tersenarai dalam 16 negara yang telah menandatangani perjanjian dengan Korea Selatan menerusi Sistem Permit Pekerjaan (EPS).

Sementara itu, Kementerian Pekerjaan dan Buruh di negara itu bertanggungjawab untuk memeriksa dan memilih warga asing yang dibenarkan bekerja di negara yang mempunyai kuasa ekonomi keempat terbesar di Asia itu berdasarkan kebolehan mereka berbahasa Korea.

Perkara tersebut disahkan oleh Ock Hyun-ju, rakan kerjasama media mStar Online di Korea Selatan, Korea Herald (KH) yang sama-sama menyingkap isu ini di negara K-pop itu.

Beliau turut bertemu dengan rakyat Malaysia di Seoul yang cedera akibat jarinya tersekat di dalam mesin, putus jari dihempap mesin dan gaji yang tidak setimpal dengan pekerjaan yang ditawarkan.

Menurut rekod sukarelawan bebas itu pula, kira-kira 300 rakyat Malaysia telah menjadi mangsa di Korea Selatan dan ia melibatkan sebanyak 87 kes dalam tempoh dua tahun.


Gambar menunjukkan mangsa yang tidak dibayar gaji terpaksa mengasingkan besi dan aluminium yang diambil dari tempat pelupusan sampah.

Jelasnya, antara jenis masalah yang pernah dikendalikannya adalah melibatkan kes putus jari, patah kaki, patah tangan, cedera akibat terkena asid, dipukul majikan dan tidak dibayar gaji.

Z Hilmi yang mula berkhidmat di negara itu sejak September 2016 berkata, dia dan majikannya yang berasal dari Maghribi akan cuba menyelesaikan masalah setiap mangsa melalui perbincangan bersama pihak majikan.

Namun, sekiranya pihak majikan enggan bertanggungjawab, mereka berdua akan membuat aduan ke Kementerian Pekerjaan dan Buruh dan berjuang sehingga kes tersebut selesai.

"Saya tidak dapat nyatakan bagaimana bos saya (lelaki Maghribi) melakukannya, tapi dia yang banyak membantu menguruskan kes-kes mangsa di sini.

"Saya banyak melihat perjuangannya menuntut hak mangsa sehingga berlaku pergaduhan antara beliau dan pihak majikan. Lepas saya lihat kesungguhannya, saya tidak sampai hati untuk meninggalkan negara ini dan membiarkan beliau keseorangan membantu orang-orang kita," katanya yang pada mulanya tidak merancang untuk menetap lama di negara itu.


Kiri: Keadaan kaki salah seorang mangsa yang terkena asid. Kanan: Keadaan jari mangsa yang terputus akibat kemalangan di kilang.

Pemuda yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga menganggap sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mencari mangsa-mangsa yang telah pulang ke Malaysia tanpa sebarang pembelaan.

Z Hilmi turut berharap agar mana-mana pihak di Malaysia dapat menghulurkan bantuan untuk tujuan tersebut.

Buat masa ini mangsa-mangsa yang terkandas di Korea Selatan dibenarkan menginap di rumah tamu milik majikannya sekiranya tidak mempunyai tempat untuk berteduh.

"Jika kes mereka berjaya diselesaikan, mangsa hanya diminta menyumbang sejumlah kecil daripada wang pampasan yang diterima bagi memudahkan kami menggunakan wang itu untuk membantu mangsa lain.

"Namun, jika kes tersebut gagal diselesaikan, mereka dibenarkan tinggal secara percuma termasuk diberikan makan dan pakaian," ujarnya.

Sumber: Mstar Online
Share on Google Plus

2 comments:

  1. Permisi...numpang lewat,buat kamu yang lagi bosan dan ingin mengisi waktu luang dengan menambah penghasilan yuk gabung di di situs kami www.fanspoker.com
    kesempatan menang lebih besar yakin ngak nyesel deh ^^,di tunggu ya.
    || bbm : 55F97BD0 || WA : +855964283802 || LINE : +855964283802 ||

    ReplyDelete
  2. Dengan minimal deposit 10.000, kalian bisa mencoba keberuntungannya bersama dengan kami
    segera add pin bb kami D87604A1, ditunggu ya di D3W4PK**

    ReplyDelete