Awas Kanser Limfoma! Jangan Pandang Remeh Jika Berpeluh Pada Waktu Malam, Demam, Berat Badan Turun Mendadak, Benjolan Pada Tangan & Kaki Serta Kurang Selera Makan Dan Letih.


Jangan pandang remeh jika ada di antara anda mengalami gejala-gejala seperti berpeluh pada waktu malam, demam, berat badan turun mendadak, benjolan pada kaki atau tangan serta kurang selera makan dan letih.

Semua simptom tersebut adalah kemungkinan tanda-tanda kanser darah Limfoma Hodgkin (HL), yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan anda harus perlu berjaga-jaga kerana sehingga kini banyak kes limfoma masih tidak dapat dijelaskan puncanya.

Walaupun peratusan untuk sembuh adalah tinggi, jangka hayat pesakit adalah rendah bagi mereka yang tidak bertindak balas kepada terapi semasa lapor Utusan Malaysia.

Menurut Ketua Perkhidmatan Hematologi Kebangsaan, Datuk Dr. Chang Kian Meng, HL dikategorikan sebagai sejenis penyakit berbahaya yang sangat jarang berlaku, tetapi banyak terjadi kepada golongan muda.


Katanya, dianggarkan satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap HL dan 60 peratus daripadanya adalah lelaki.


“HL merupakan kanser darah yang bermula dari sel lymphocytes, iaitu sel darah putih yang mengalir ke seluruh tubuh menerusi bendalir dikenali sebagai limfa, yang merupakan sebahagian daripada sistem imun manusia.

“Apabila nodus limfa membengkak, lymphocytes yang tidak normal akan membentuk sel tumor yang boleh menyebabkan berlakunya HL,” katanya dalam sesi perkongsian mengenai HL dan pelancaran terapi terbaharu, Adcentris (brentuximab vedotin) oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd., di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ujarnya, mereka yang berumur antara 15 hingga 30 mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat HL, malah warga emas yang berusia 55 tahun ke atas juga mempunyai risiko yang sama.

Mereka yang terdahulu dijangkiti virus Epstein-Barr juga mempunyai risiko yang sama, selain penghidap HIV atau AIDS yang sememangnya mempunyai kadar imunisasi rendah yang akan mengakibatkan HL bertambah teruk.

Dr. Kim Meng berkata, HL boleh dikenalpasti melalui kaedah biopsi seperti ujian darah, x-ray, imbasan CT (CT Scan), Imbasan MRI (MRI Scan), dan Imbasan PET (PET Scan).

Bagaimanapun, rawatan berbeza dikenakan kepada pesakit yang berbeza mengikut tahap kanser atau faktor-faktor seperti lokasi kanser, jenis HL, dan umur pesakit.

“Pesakit akan menjalani rawatan sama ada melalui rawatan kemoterapi, radioterapi ataupun kombinasi kedua-duanya sekali. Jika pesakit tidak bertindak balas dengan rawatan tersebut, mereka perlu menjalani pemindahan sel stem bertujuan memberi peluang yang lebih baik untuk merawat beberapa jenis penyakit HL melalui pengawalan dalam tempoh masa yang lebih lama berbanding rawatan kemoterapi standard,” katanya.


Secara amnya, terdapat dua jenis limfoma iaitu HL dan Limfoma Bukan-Hodgkin (NHL). NHL lebih biasa berlaku apabila sistem limfatik menghasilkan limfatik yang tidak normal dan biasanya menyerang mereka yang berusia 60 ke atas.

NHL lebih kompleks kerana mempunyai pelbagai jenis melalui dua kumpulan besar, iaitu B-cell lymphomas dan T-cell lymphomas dan berbeza berdasarkan sub jenis kanser. Bagaimanapun, simptom yang berlaku hampir sama seperti HL namun mereka turut mengalami kesukaran untuk bernafas, sakit di bahagian dada, dan perut membengkak.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Hematologi, Hospital Duran i Reynals, Barcelona, Sepanyol, Dr. Anna Sureda, berkata, 70 peratus daripada pesakit HL mengalami keadaan yang berulang dalam tempoh 12 bulan selepas melakukan pemindahan sel tunjang autologus dan kelangsungan hidup yang kurang dari setahun.

Katanya, antara rawatan terbaharu bagi mengelakkan penyakit HL berulang atau bersifat refraktori adalah melalui terapi konjugat ubat antibodi (ADC) yang berupaya memusnahkan sel kanser berbahaya, CD30+, secara khusus.

Ubat khusus ADC berfungsi menyasarkan secara khusus protein CD30 yang ditemui pada permukaan sel kanser yang berbahaya tanpa merosakkan sel sihat di sekeliling tumor.

“Dengan terapi ini, kelangsungan hidup secara keseluruhan boleh melebihi empat tahun dalam kalangan pesakit HL dan Limfoma Sel Besar Anaplastik Sistematik (sALCL) yang berulang atau bersifat refraktori.

“Dengan pilihan rawatan terbaharu ini, pesakit dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti dan bermakna bersama keluarga yang tersayang,” katanya.

Pengenalan terapi terbaharu Adcentris itu juga diadakan sejajar dengan sambutan Hari Kesedaran Limfoma Sedunia yang disambut setiap 15 September bagi meningkatkan tahap kesedaran terhadap penyakit HL dan NHL.
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment